Aku: Apa yang kamu tahu tentang hidup?
Hati: Aku tahu hidup itu payah, tapi harus diteruskan. Hidup itu ada bahagia yang tak tersingkap, ada derita yang tak terucap, ada mimpi yang seindah fantasi, tapi realiti selalunya ngeri.
Aku: Kamu terlalu berfalsafah
Hati: Mungkin. Aku senang begitu, kerana ia mampu memujuk aku, dan mampu menjadikan kamu lebih berfikir.
Aku: *Sinis*Iya? Aku rasa aku sudah terlalu sinikal dengan hidup.
Hati: Ah, kamu cuma tidak tahu mencari keindahan hidup. Dunia ini penuh dengan keindahan, kamu hanya perlu tahu mencarinya.
Aku: Ah...kamu terlampau idealistik. Aku rasa semua keindahan hidup sudah diragut jembalang-jembalang yang bertopeng manusia. Keindahan hidup cuma boleh dirasai mereka yang punya kuasa dan harta.
Hati: Kamu terlalu negatif. Kamu rasa harta dan kuasa akan memelihara mereka sentiasa? Satu hari nanti mereka tentu jatuh.
Aku: Bila? Sewaktu aku sudah menutupkan mata?
Hati: Aku tak mampu menjawab soalanmu. Tapi bukankah kita harus mewariskan sesuatu pada anak-anak kita?
Aku: Apa yang mampu kita wariskan? Derita? Air mata? Hipokrasi manusia yang bergelar politikus?
Hati: Kita wariskan dunia yang lebih baik, dunia yang lebih bertamadun.
Aku: *Sinis* Kau bercakap tentang tamadun, tapi apa yang aku nampak cuma kemodenan tanpa ketamadunan. Manusia hari ini lebih keji dari binatang. Lebih jahat dari Fira'un.
Hati: Kamu terlalu berpersepsi negatif!
Aku: Tidak. Aku cuma realistik. Kamu rasa dunia ini boleh dibersihkan, sedangkan itu sudah menjadi lumrah. Di mana-mana sahaja, si kecil sentiasa tertindas. Lihat sahaja kita, beritahu aku, berapa kali kamu tidak mendapat sesuatu yang memang kamu layak hanya kerana seseorang yang lebih berpengaruh, lebih berharta mahupun sesuatu yang sama?
Hati: *Diam*
Aku: *Ketawa*
Hati: Kamu sudah mempersoalkan qada' dan qadar. Kamu harus menerimanya dengan hati yang pasrah.
Aku: Tidak. Aku tidak mempersoalkan qada' dan qadar. Tapi aku mempersoalkan kebohongan manusia, kekejian manusia.
Hati: Kamu tahu bukan apa yang terjadi itu adalah ketentuanNya, ada hikmah disebaliknya. Kamu harus redha.
Aku: Itulah silap kamu. Sikit-sikit redha, sikit-sikit pasrah, sikit-sikit takdir. Kamu tahu bukan Islam tidak pernah menyuruh kamu menyerah segalanya pada takdir. Malah Islam juga menyatakan kita boleh mengubah takdir sekiranya kamu berusaha dan berdoa padaNya.
Hati: *Sinis* Dan kamu, ada kamu berusaha? Ada kamu berdoa padaNya? Ada kamu patuh padaNya?
Aku: *Diam*
Hati: Kamu bercakap tentang realiti, tentang idealistik dan hipokrasi. Tapi realitinya kamu adalah manusia yang hanya bermimpi kan sebuah idealism. Kamu adalah manusia yang hipokrit pada diri sendiri dan penciptaNya. Tak perlu melaungkan ketidak adilan kalau kamu sendiri tidak mengerti apa itu keadilan. Kamu manusia yang hanya tahu berpaksikan ideologi tapi tidak tahu mempraktikkannya!
Aku: Kamu menuduh aku...
Hati: Tidak. Aku tidak menuduh, aku hanya menyatakan kebenaran! Kamu harus belajar untuk adil pada diri sendiri dahulu, barulah kamu boleh berbicara tentang ketidakadilan hidup terhadap kamu.
Aku: *Lemah* Aku cuma mahukan ketenangan, aku mahu hidup yang indah.
Hati: Seperti yang aku katakan, jangan mengharap semuanya datang kepada kamu, semuanya mudah terbentang di depan mata, carilah sendiri ketenangan itu, keindahan itu dan kau akan tahu betapa adilnya hidup ini.
Friday, December 26, 2008
Siri Bicara dengan Hati
Posted by
Hanim
at
12/26/2008 10:10:00 AM
Subscribe to:
Comment Feed (RSS)
|